BUKAN kerana persaingan tidak sengit, tapi pemenang kategori Pe
nyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, Fara Fauzana menyifatkan kemenangannya adalah disebabkan kegigihan dan kesetiaan peminatnya yang tidak pernah letih mengundi sehingga mengungguli kedua-dua kategoti itu selama enam tahun berturut-turut.
Penyampai radio Hot FM ini bersyukur dan gembira kerana mempunyai peminat yang bukan saja rapat dengannya tapi sanggup meluangkan masa, berkongsi membeli akhbar Berita Harian dan menghantar beribu-ribu undian untuk dirinya.
“Siapa kata saingan saya tidak sengit, sebagai contoh, lihat pada populariti Cheryl Samad, berjuta menontonnya ketika dia mengacarakan rancangan berskala besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Sudah tentu di situ orang ramai boleh lihat kekuatannya. Tapi cuma saya rasa peminatnya tidak mengundi, berbanding dengan peminat saya yang cukup rajin mengundi,” ulasnya ketika dibandingkan.
Pada mulanya Fara beranggapan tahun lepas adalah terakhir untuknya membawa pulang trofi Pengacara TV Wanita Popular disebabkan pengunduran dari program Melodi, tapi sangkaannya tersasar apabila lapan bulan tidak muncul sebagai hos, dirinya masih setia di hati peminat dengan jolokan yang sama.
Namun, Fara atau mesra dengan sapaan Fafau yang ditemui di sidang media pelantikannya sebagai duta produk Laurier di ibu negara, semalam, mengakui dia tidak hanya mahu diletakkan di dalam kategori popular, sebaliknya mahu jadi yang terbaik.
Menurutnya, sehingga hari ini dia masih bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman seperti Seelan Paul dan Serimah Ibrahim, caracaranya untuk diiktiraf sebagai yang terbaik.
“Secara jujur, saya tidak tertekan untuk mengekalkan gelaran sebagai pengacara dan penyampai popular kerana sentiasa rapat dengan peminat. Saya rasa tekanan untuk mengekalkan kemenangan itu lebih dirasai oleh peminat, bukannya saya. Sejak dari awal lagi saya tidak mahu peminat terlalu berharap dan syukur dengan sokongan mereka juga, sekali lagi tahun ini saya mengungguli kategori anugerah sama.
“Saya tidak takut sekiranya tidak menang sebab sudah menjangkakan kekalahan kerana saya sudah meninggalkan bidang pengacaraan selama lapan bulan sebelum menjadi hos Nona. Tapi rupanya saya salah kerana impak Melodi masih kuat.
“Tiada jalan singkat untuk menjadi yang terbaik, lihat saja pada permulaan saya bertugas sebagai pengacara Nona. Saya akui pada awalnya saya sakit hati, sakit mata dan sakit telinga mengetahui komen orang ramai mengenai penyampaian saya dalam program itu. Tapi kini orang sudah boleh menerima kerana banyak perkara sudah saya pelajari dan perbetulkan.
“Saya tahu ada yang masih membandingkan saya dengan pengacara sebelum ini dan semua itu normal, serta saya pun tidak mengambil masa lama untuk memperbaiki kelemahan. Cuma orang ramai tidak biasa dengan penampilan matang saya kerana antara di Nona dan Hot FM, saya ketengahkan cara yang berbeza,” kata wanita berusia 32 tahun ini.
Pelbagai kejayaan sudah dicapainya, pada masa sama usianya juga semakin bertambah, dan menyedari hakikat itu, Fara mengetahui ramai yang sangsi mengenai soal jodohnya.
“Saya tahu saya sudah melepasi jangka waktu untuk berkahwin kerana saya sendiri pun meletakkan umur 30 tahun untuk mengakhiri zaman bujang saya. Saya pernah mencuba dan jodoh saya pun belum sampai lagi.
“Saya mempunyai ramai kawan lelaki, tapi sebenar-benarnya saya tidak mempunyai teman lelaki sesuai yang boleh dijadikan sebagai suami. Saya juga pernah berkawan dengan lelaki mat saleh tapi saya sendiri yang takut. Bukannya mudah mencari suami dan saya akui masih belum berjumpa dengan teman hidup lagi. Bukannya kerana kesibukan bekerja atau komitmen saya membuatkan saya lambat berkahwin dan saya percaya masa saya akan sampai tidak lama saja lagi,” jelasnya Anugrah Bintang Populer Berita Harian.
Dapatkan perkembangan mutakhir dan pengisian eksklusif ABPBH di laman Facebook dan Twitter.